Wednesday, October 14, 2009

Zulfazlan, penulis muda berbakat besar

Saat diminta hendak ditemuramah, pantas penulis muda ini menyatakan persetujuannya untuk berbuat demikian. Zulfazlan Jumrah, 23, merupakan antara kelompok penulis muda Malaysia yang kian bersinar dalam bidang penulisan.
Bukan mahu mengangkat-angkat, tetapi penulis sendiri kagum dengan hasil karyanya yang hebat dan sering mendapat ruang di dada akhbar perdana untuk disiarkan biarpun usianya masih setahun jagung.
Ketibaan penulis di kamar tidurnya disambut dengan senyuman manis yang mengalu-alukan kedatangan penulis.Walaupun agak sibuk dengan tugasan di universiti, namun kesudian beliau untuk menerima kunjungan penulis untuk ditemubual memang tidak akan disia-siakan.
Ditanya berkenaan penglibatan beliau di dalam bidang penulisan, dengan tenang dan bersahaja beliau menjawab, “ Boleh dikatakan, penglibatan saya bermula sejak sekolah rendah lagi apabila mewakili sekolah saya dalam pertandingan pantun dan berjaya sehingga ke peringkat negeri”.
“Dari situ minat saya terhadap bidang penulisan kian bercambah dan saya terus bergiat aktif menulis walaupun ketika itu saya masih tidak nampak hala tuju saya di dalam bidang ini”.
“Tapi, alhamdulillah, bermula tahun 2005, saya telah menyertai beberapa bengkel penulisan seperti Perkampungan Penulis Muda Kebangsaan di Sabah dan Perhimpunan Penulis Muda Nasional di Johor dan di sana saya telah bertemu dengan ramai penulis besar seperti Samsudin Othman dan Faisal Tehrani yang membakar lagi semangat saya untuk menjadi seperti mereka suatu hari nanti” ujar beliau dengan nada penuh bersemangat.
Namun, platform yang betul-betul membuatkan beliau nekad untuk serius di dalam bidang ini ialah apabila beliau terpilih untuk menyertai Minggu Penulis Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2006 kerana di sana selama seminggu beliau dan rakan-rakan yang lain diberi tunjuk ajar yang lengkap tentang cara-cara bagaimana hendak menjadi seorang penulis yang baik.
Kini, anak kelahiran Johor ini merupakan pelajar tahun ke-empat di dalam Bacelor Pendidikan Pengajaran Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pertama di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan di sana beliau juga turut aktif dengan pelbagai aktiviti.
Beliau adalah wakil UPM di dalam pertandingan Akademi Sastera anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun ini dan menjadi wakil tunggal UPM yang layak ke peringkat akhir bersama dengan 5 peserta dari universiti lain.
Selain itu, beliau baru sahaja selesai mengarahkan sebuah drama pendek bertajuk Sebuah Kerusi, Sebentuk Cincin, Sejambak Ilham pada dan merupakan pengarah, penulis skrip dan juga pelakon di dalam pementasan ini.
Anugerah yang pernah diterimanya pula ialah Hadiah Sastera Darul Takzim Ke Tujuh pada tahun ini dalam kategori Cerpen Eceran. Selain itu, banyak karya beliau pernah tersiar di dalam majalah-majalah seperti Tunas Cipta, Dewan Sastera dan Dewan Siswa dan juga suratkhabar utama Malaysia seperti Berita Harian dan Utusan Malaysia.
Perancangan masa depan anak muda ini pula adalah untuk bergelar seorang pensyarah dan tidak terhad kepada mengajar sahaja, beliau juga mahu menjadi penulis bebas dan pengarah filem suatu hari nanti.
Nasihat beliau kepada penulis-penulis muda di luar sana yang mahu menjadi penulis, banyakkanlah memaca bahan bacaan luas dan mempunyai kegigihan dan kekentalan untuk menulis kerana beliau juga berpegang pada prinsip ‘Tulislah apa sahaja asalkan ia bermula dari hati’.

Bersama Salleh Rahmat sewaktu menerima Hadiah Sastera Darul Takzim Ke-7


Zulfazlan tekun menulis untuk menyiapkan karya di bilik tidurnya

Antara karya-karya beliau yang telah dibukukan

Sewaktu berlakon di dalam drama beliau sendiri

Hasil karya beliau yang terbaru

No comments:

Post a Comment