Thursday, October 1, 2009

Suasana dan gelagat di bazar Ramadhan

PERJALANAN ke bazar Ramadhan di Putrajaya memakan masa hampir 20 minit dari UPM. Itu pun dengan menunggang motorsikal, kalau menaiki kereta mungkin lebih cepat lagi.

Saya ke sana ditemani rakan saya, Khairil. Kami bertolak pada pukul 5.30 petang dan tiba pada pukul 5.50 petang.

Inilah dia Khairil yang menemani saya ke bazar

Tidak sukar untuk mencari bazar Ramadhan di Putrajaya kerana lokasinya yang strategik iaitu terletak berhadapan dengan bangunan MDEC memudakan sesiapa sahaja untuk mencarinya walaupun bagi mereka yang kali pertama seperti kami.

Sampai sahaja di sana, saya terpegun seketika kerana saiz bazar tersebut yang begitu besar dan luas berbanding dengan bazar Ramadhan di tempat saya, Sri Serdang. Bagai langit dan bumi.

Banyak khemah didirikan di sepanjang 50 meter bazar tersebut dan dibahagikan kepada 3 bahagian.

Suasana di bazar tersebut agak meriah dengan kehadiran ramai pengunjung dengan disokong oleh kehadiran cuaca yang baik, menjadikan keinginan untuk membeli juadah berbuka puasa terbuka lebih luas.

Setiap pengunjung sibuk dengan agenda masing-masing

Lihatlah betapa sesaknya bazar dengan lautan manusia

Pelbagai aneka makanan dijual di sini. Sebut apa sahaja, pastinya akan ada di sini. Tidak hairanlah mengapa Malaysia digelar syurga makanan kerana kepelbagaian makanannya.

Saya sempat berbual dengan seorang pengunjung di bazar dan bertanyakan beberapa soalan kepadanya.

Beliau hanya mahu dipanggil sebagai En. Sidi dan mengatakan beliau selalu datang ke sini pada setiap hujung minggu.

Selain daripada kepuasan kerana juadah yang dijual lebih banyak, beliau yang menetap di Sri Serdang mengatakan bazar di tempatnya kecil dan sesak berbanding bazar di sini yang lebih besar dan tidak sesak. Atas sebab itu, beliau lebih selesa datang ke sini walalupun jarak dari rumahnya agak jauh.

En. Sidi biasanya menghabiskan RM15 untuk membeli juadah buat keluarganya

Pasti sesiapa terliur apabila melihat keenakan kuih-muih ini

Tak cukup tangan peniaga air tebu ini melayan permintaan pelanggannya

Apakah makanan yang menjadi rebutan ramai orang ini?

Keenakan roti john Unan ini menyebabkan pengunjung sanggup beratur panjang

Sebelum pulang, saya sempat membeli juadah untuk berbuka puasa nanti. Secara keseluruhannya, saya sangat berpuas hati dengan bazar Ramadhan Putrajaya ini kerana selain besar dan luas, terdapat banyak makanan dijual dan tidak begitu sesak dengan pengunjung.

Kepada mereka yang masih belum pernah ke sini, saya sarankan agar anda segera ke sini sebelum bulan Ramadhan berlalu untuk merasai pengalaman membeli juadah yang lain daripada yang lain.


No comments:

Post a Comment