Thursday, October 1, 2009

Makan bola, tidur bola


BOLA sepak adalah nama yang sinonim dengan kaum lelaki terutamanya apabila menjelang sesebuah kejohanan penting seperti Piala Dunia, kaum lelaki sanggup berjaga pagi semata-mata hendak menyaksikan pasukan kegemaran mereka bermain.

Maka tidak hairanlah apabila kata-kata makan bola, tidur bola pernah dijadikan tagline oleh syarikat minuman Coca-Cola di dalam iklannya kerana hendak menggambarkan betapa dekatnya sukan ini dengan jiwa kaum lelaki.

Walaupun Malaysia tidak pernah menjejakkan kakinya ke pentas Piala Dunia, (dan tidak pasti bila) namun hal ini tidak pernah mematahkan semangat kaum lelaki Malaysia untuk menyertai semangat cintakan bola kerana seperti sudah dikatakan, bola dan lelaki ibarat aur dan tebing, saling memerlukan antara satu sama lain.

Disebabkan itu, boleh dikatakan di mana-mana sahaja, pasti akan ada pertandingan bola sepak diadakan dan tidak terkecuali di Universiti Putra Malaysia (UPM). Tidak pernah dalam sejarah UPM gagal menganjurkan pertandingan bola sepak kerana tahu kegagalan menganjurkannya mungkin boleh menyebabkan pelajar lelaki merusuh.

Di UPM, kejohanan sukan Interkolej selalu diadakan pada setiap semester bergantung jenis sukan yang dianjurkan dan sukan bola sepak pula diadakan pada semester satu setiap tahun.

Kejohanan ini menyaksikan sebanyak 16 buah kolej berentap di mana setiap kolej dibahagikan kepada 4 kumpulan yang mengandungi 4 kolej dalam setiap kumpulan.

Penyokong KC meraikan jaringan pasukan mereka

Pemain KC diasak teruk dalam perebutan mendapatkan bola

Pada perlawanan peringkat kumpulan B, perlawanan adalah di antara Kolej Canselor (KC) dan Kolej Kelima (K5) yang diadakan pada 24 Julai 2009 di Padang C, bersebelahan dengan gelanggang tenis UPM.

Perlawanan yang berlangsung adalah sengit di mana kedua pihak buntu mencari jaringan awal pada sebelah masa pertama.

Pada sebelah masa kedua, kebuntuan mencari gol akhirnya terlerai apabila pasukan KC berjaya menjaringkan gol pertamanya dan gol pertama perlawanan melalui sepakan dari tepi kiri padang oleh Mohd Syafiq yang mengelirukan penjaga gol K5.

Kesudahannya, ketika wisel penamat ditiup pengadil, KC berjaya memenangi perlawanan tersebut dengan jaringan 1-0 dan memungut mata penuh untuk bersaing dengan pasukan lain bagi merebut tempat ke suku akhir.

Sepakan percuma adalah peluang untuk menjaringkan gol

Kecederaan adalah lumrah di dalam bola sepak

No comments:

Post a Comment